Saturday, February 14, 2009

UmP CiPtA SeJaRaH...

UMP pertama perkenal 5S

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai universiti pertama melaksanakan amalan pengurusan 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), baru-baru ini. 


Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata amalan 5S iaitu seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke yang bermakna sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal adalah kaedah pengurusan Jepun. 

Katanya, amalan 5S itu dapat mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti dalam organisasi, menentukan kepatuhan serta memupuk usaha menambah baik sistem penyampaian secara berterusan. 

"Kita mengamalkan kaedah ini kerana ia satu daripada inisiatif kualiti yang berkesan bagi menerapkan budaya penambahbaikan kepada warga kerja universiti ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam. 

Beliau berkata, antara jabatan yang memperoleh persijilan amalan 5S daripada MPC ialah Pusat Pembangunan Staf Akademik (ASDC), Jabatan Bendahari, Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH). 

Katanya, pelaksanaan amalan pengurusan 5S itu akan diperluaskan dan menjadi budaya kerja semua warga universiti itu termasuk pelajarnya. 
 

Daing Nasir berkata, pengiktirafan itu dinilai menerusi beberapa aspek iaitu mewujudkan sistem fail dan pengurusan stor sistematik, mengoptimumkan penggunaan ruang terhad di pejabat dan makmal. 

Mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, bersih, ceria dan sistematik, pengurusan peralatan lebih cekap serta pengurusan stok yang lebih berkesan. 

"Kaedah dan piawaian kerja yang lebih jelas dan persekitaran kerja yang selamat sejajar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 juga dinilai," katanya. 

Daing Nasir berkata, kejayaan UMP memperoleh persijilan amalan 5S adalah hasil daripada komitmen dan kesungguhan warga kerja universiti mengamal dan membudayakan amalan itu secara berterusan sejak tahun lalu.


sumber: berita harian online

No comments: