Kematian itu adalah fitrah bagi setiap yang bernyawa
Hati ini pada waktu itu sangat-sangat sedih mengenangkannya. Bukan menangisi pemergiannya, tetapi bermuhasabah memikirkan sebentar bagaimana hebatnya kematian itu. Ia hadir tanpa dikesan. Ia boleh hidu pada orang yang masih muda, tegap, dan sihat, seolah-olah akal ini tidak dapat menerima berita tentang kematiannya. Benarlah firman Allah swt:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tamat tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya”. (Yunus:49)Ya. Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati, kerana itu lumrah dan sunnatullah bagi setiap kehidupan yang berada di atas muka bumi ini. Tidak akan ada sesiapa pun yang kekal melainkan Allah swt.
Hal ini sudah ditegaskan oleh firman Allah swt yang bermaksud:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali-Imaran:185)
Alam Barzakh
Saya terfikir pada waktu itu jika mati menjemput saya secara tiba-tiba, tanpa ada alarm yang memberitahu. Padahal pada waktu itu masih bergelumang dengan dosa. Patutlah para ulama’ berkali-kali mengingatkan bahawa setiap hari hendaklah muhasabah diri mengenai kematian walaupun seketika. Begitu juga dengan ingatan tulus ikhlas daripada Nabi saw kepada kita semua bahawa orang yang mengingati mati itu adalah orang yang sangat bijak.
Perhatikan, bagaimana jika diri kita dijemput Allah swt dalam keadaan yang masih bergelumang dengan dosa dan maksiat. Bukan sahaja tunggu seksaan di akhirat, malah di dalam kubur lagi kita sudah merasai keperitan azabnya. Saya suka membawa sepotong hadis ini bagi membuktikan bahawa rehat hanya bagi orang yang bersih daripada dosa apabila di dalam kubur kelak, hadisnya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Nabi Muhammad saw menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur. Lalu Umar Al-khattab r.a. bertanya: “Adakah akan dikembalikan akal-akal kita (di dalam kubur kelak)?” Nabi menjawab: “Ya, ia akan dikembalikan sebagaimana keadaan kamu sekarang”. (Riwayat Ahmad No 6603, 2/172: Ibnu Hibban, 7/387 Majma’ Zawaid, 3/47)Bagaimana pula jika terpaksa menunggu di alam kubur sepanjang beribu-ribu tahun sebagaimana yang dikenakan kepada orang-orang yang mati dalam keadaan bergelumang dengan dosa? Dalam status penilaian akal ia sama sewaktu kita hidup. Tetapi status keadaan tubuh dan keselesaannya adalah diletakkan pada ruang liang lahad yang kecil, sempit, berselimut putih dan bertemankan binatang-binatang buas yang berada di bawah sana. Ya Allah, tidak dapat bayangkan bagaimana reaksi kita nanti di sana.
Benarlah, hanya amal soleh yang dapat memberikan keselesaan tatkala itu.
Selain itu, himpitan yang dikenakan di alam kubur juga adalah sangat dahsyat bagi orang yang zalim dan berbuat maksiat, buktinya daripada hadis nabi saw yang bermaksud:
“Sesungguhnya di alam kubur itu terdapat himpitan, dan jika seorang itu mampu selamat daripadanya sudah tentu (salah seorangnya) adalah Sa’ad bin Muadz (seorang sahabat nabi yang hebat).” (Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban)Maka benarlah!
Mati itu adalah satu motivasi yang sangat berguna bagi yang hidup ini, beringat bahawa setiap tindak tanduk kita di dunia ini akan dinilai oleh Allah swt dengan seadil-adilnya. Ya, Allah swt telah menegaskan hal ini di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Az-zalzalah:6,7 dan 8 )Fikir juga bagaimana keadaan diri kita berada di akhirat sana pula!
Wahai bakal-bakal jenazah yang dikasihi Allah swt, kita semua tahu bahawa mati itu benar, alam barzakh itu benar, hitungan amal itu benar, titian sirot itu juga benar, syurga dan neraka juga benar. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia menghadapinya?
Di sana kita hanya ada dua pilihan bukan tiga atau empat iaitu diletakkan sama ada di syurga atau neraka, jika baik timbangan amal kita, maka baiklah. Jika buruk timbangan amal kita, maka buruklah. Itu janji Allah swt yang terpateri teguh di dalam Al-quran dan As-sunnah.
Sesungguhnya, kita masih banyak peluang masa dan ruang untuk bertaubat serta menginsafi diri. Oleh itu, kita jangan buang masa lagi.
Cepat bertindak, itulah orang yang sangat bijak menggunakan peluang.
Sekian,
Sumber: MyIbrah
2 comments:
wah bgus la edy..sy suke ayat awk..orang yg sentiasa ingat mati..mmg orang yg bijak sahaja...
sy ske page awk yg nih...tq..same-same kite menjalankan tanggungjawab sebagai umat yg dikasihi dan disayangi oleh ALLAH swt..amin insyallah
Nadia Karim>>>
sekadar mengingati antara satu sama laen..insyaallah
Post a Comment