Firman Allah Ta’ala kepada kita, hamba kepada-Nya:
Maka sesiapa yang diberikan kitab amalnya di tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): “Ambillah! Bacalah kamu kitab amalku ini. Sesungguhnya aku dahulu yakin, bahawa aku akan menghadapi perhitungan amalku (pada hari yang ditentukan). Maka dia berada dalam kehidupan yang diredhai di dalam syurga yang tinggi (darjatnya). (Al-Haqqah: 19-22)
Ada Apa Dengan Syurga
Mengapa syurga itu satu destinasi impian? Apa yang ada di syurga sana? Menurut Ibnu Kathir, di dalam syurga yang tinggi itu, tersedia istana mahligai, juga kebahagiaan abadi.
Bahagia dan gembira, adalah perasaan yang menjadi keinginan dan keperluan setiap manusia. Ada yang mencarinya melalui jalan yang betul dan benar, natijahnya kegembiraan di dunia dan akhirat.
Namun ada yang mencarinya di jalan yang salah dan menyimpang, natijahnya kebinasaan yang jauh lebih besar berbanding kegembiraan sementara.
Ketenangan dan kebahagiaan abadi, hanya di Jannatullah.
Sebagaimana firman Allah Ta’ala:
Maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari tersebut, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (pada wajah) dan kegembiraan (pada hati). (Al-Insan: 11)Juga firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka). Engkau dapat mengetahui daripada wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. (Al-Mutaffifin: 22-24)Cuba kita bayangkan atau kita ingat kembali, segala detik-detik manis, saat-saat gembira dan bahagia, keadaan-keadaan yang memberi ketenangan kepada diri, dan pemandangan alam ciptaan Allah s.w.t. yang serba indah. Juga kemewahan harta, yang mana sebahagian manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk memilikinya.
Semua keindahan dan kemewahan ini, adalah berkali ganda lebih hebat dan lebih baik di syurga kelak, di luar imaginasi dan fikiran kita sebagai hamba.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
Di dalam syurga itu (ada nikmat-nikmat) yang tidak pernah ada mata yang melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak pernah terlintas dalam hati seseorangpun. (Riwayat Bukhari)Dan tahukah kita, syurga itu ada berapa darjat kesemuanya?
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya Syurga itu 100 darjat, beza setiap darjat adalah seperti jarak antara langit dan bumi. (Muttafaqun ‘alaih)Syurga darjat paling rendah sudah diluar jangkaan dan imaginasi manusia, bagaimana pula dengan segala kenikmatan di syurga darjat tertinggi? Terlalu nikmat.
Harga Kebahagiaan
Setiap sesuatu, ada harganya bukan? Lagi baik sesuatu itu, lagi mahal harganya. Maka, apakah harga kebahagiaan abadi yang kita dambakan itu?
“Sesungguhnya aku dahulu yakin, bahawa aku akan menemui perhitungan amalku (pada hari yang ditentukan).” (Al-Haqqah: 20)Keyakinan. Yakin pada hari perhitungan amal. Yakinkah kita? Apakah pula sifat mereka yang yakin akan pertemuan dengan hisab?
Mari kita renungkan firman Allah s.w.t.:
Maka barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal kebaikan dan janganlah dia mempersekutukan dalam ibadah kepada Tuhannya dengan sesuatupun. (Al-Kahfi: 110)Inilah harga sebuah kebahagiaan abadi. Amal kebaikan, amal soleh.
Jalan kebaikan itu luas, dengan syarat amal itu niat kerana Allah dan dilaksanakan menepati (tidak bercanggah) dengan syara’. Ibadah khusus, program tarbiyyah, majlis ilmu, majlis zikrullah, usrah, smart circle, muzakarah berkelompok, dakwah ilAllah, akademik, kebajikan, bacaan fikrah Islamiyyah, tadabbur alam dan ibadah umum yang lain. Terlalu banyak untuk disenaraikan.
Satu muhasabah. Bagaimana dengan amal kita? Banyak yang baik, atau banyak yang buruk? Usah dibuang masa kita yang amat terhad dan bernilai pada jalan selain daripada jalan kebaikan.
Kita renungkan firman Allah s.w.t.yang bermaksud:
Dan barangsiapa yang berjuang (berusaha menegakkan nilai Islam dalam diri dan kehidupan) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. (Al-‘Ankabut: 6)Akhir kata…
Berusahalah, demi kebaikan diri kita, dunia dan akhirat.
Berusahalah, sesungguhnya rahmah dan redha Ilahi berada di sepanjang jalan mujahadah dan di penghujungya.
Sumber : MyIbrah
No comments:
Post a Comment