Thursday, January 19, 2012

aL-QuRaN Yg KiTa AbAiKaN

 

Setelah belasan atau puluhan tahun kita hidup, bagaimanakah interaksi kita dengan al-Quran? Bagaimanakah kualiti bacaan al-Quran kita?
Bagaimanakah pula dengan penghayatan kita terhadap apa yang ditulis dalam al-Quran?



Sejauh manakah kita merasakan bahawa al-Quran itu hidup dalam hati kita, dan hidup kita secara keseluruhannya adalah berpandu kepada acuan al-Quran?
Persoalan-persoalan ini mungkin akan menimbulkan jawapan-jawapan yang kurang memuaskan atau mungkin mengecewakan.

“Eh, aku dah khatam dah waktu darjah 5 dulu tau!”.
“Takpelah, aku tak pandai sangat baca Quran, segan la nak tadarus”.
“Kalau ada masa lapang aku baca la Quran”.
“Ye ke Quran ni lengkap?”.
“Alah, aku baca je, tak pernah tengok pun maknanya. Takpe, dapat pahala jugak”.
“Dah lama dah tak baca. Tak sempat la. Sibuk sikit..”

Kalau begini layaknya sikap kita terhadap al-Quran, bagaimanakah mungkin diri kita itu terbentuk dengan al-Quran?
Bagaimanakah mungkin al-Quran itu menjadi panduan agung dalam kehidupan kita sedangkan kita tidak pernah mengetahui sekalipun pengertiannya?

Maka kita harus menyelami hati dan mula memikirkan, bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap al-Quran? Adakah dengan mengambilnya sebagai bahan bacaan ‘mengisi masa lapang’ atau ‘mesti’ cari masa untuk dibaca?

Adakah dengan menjadikannya bahan bacaan atau bahan rujukan dalam segenap kehidupan?
Ya, al-Quran dengan bait-bait kata yang sama inilah yang menjadi pengubah kehidupan sebuah bangsa Arab Jahiliah menjadi Khayru Ummah. Al-Quran dengan mesej yang sama sejak dulu inilah yang menjadi inspirasi terbebasnya Konstantinopel di tangan Islam. Al-Quran dengan suruhan dan tegahan yang sama sejak dulu inilah yang menjadi sebab tertegaknya pemerintahan Islam.
Namun, mengapakah kita tidak menjadi sebegitu hebat dengan al-Quran ini? Adakah salah al-Quran atau salah Umat Islam?

Tadabbur. Itulah kunci yang akan memberikan impak al-Quran dalam kehidupan kita. Menghayati dengan erti kata yang sebenar, meyakini dengan sepenuhnya dan membawa segala mesej tersebut untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Al-Quran bukan semata-mata untuk para Qari yang sedap dan merdu bacaannya. Al-Quran juga bukan hanya untuk ahli tafsir yang diberikan petunjuk oleh Allah untuk menggali segala persoalan dalam al-Quran.

Al-Quran bukan hanya untuk ustaz-ustaz yang memetiknya untuk dijadikan bahan ceramah. Namun al-Quran untuk semua, untuk panduan umat manusia secara keseluruhannya. Maka setiap daripada kita wajib mendalami dan menghayati al-Quran, menjadi ‘Al-Quran yang bergerak’, hidup dengan acuannya.
Firman Allah:
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (An-Nisa’: 82)
“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?” (Muhammad: 24)
Maka sekarang kita perlu mengubah orientasi pemikiran. Kalau sebelum ini al-Quran itu kita anggap sebagai bahan bacaan, sekarang mari melangkah setapak dengan menjadikannya sebagai bahan penghayatan. Bahan rujukan untuk segenap isu dalam kehidupan. Bahan penyelesaian kepada segala permasalahan yang dialami dan dirasai. Berpandukan kepada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh para Ulama’ seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran Syed Qutub, dan tafsir-tafsir lain.
Kita selak dan kita dalami al-Quran. Insya-Allah, hidup kita akan menjadi semakin terarah dan semakin membaik kerana kita mengambil sebuah panduan yang tidak bengkok sama sekali.
“Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab suci al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Al-Kahfi:1)
Sumber: MyIbrah

2 comments:

Norafizah R said...

Kesimpulannya,rajin rajin lah baca Al-Quran huu

eDdY said...

miszpiza>>>
betol tu..x dpt bnyk..satu muka sehari pon jadi la.. :)